KENALI SKSAT :

Blog yang akan mengumpul dan memapar mengenai sejarah, peristiwa,aktiviti, kejayaan, perkembangan serta gambar-gambar sk. sultan ahmad tajuddin, jitra, kedah sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kluster kecemerlangan yang mungkin akan menjadi sejarah atau satu nostalgia pada satu masa nanti..

PENTADBIRAN
GURU BESAR : K.THACANAMURTHY
PK PENTADBIRAN : HJ.ABD.WAHAB B. MD.NOOR
PK HE MURID : AB.RASHID B. ABDULLAH
PK KOKURIKULUM : MOHD NIZAM B. SAIDIN
PK PEND.KHAS : HJH.HAYATI BT. ARIFIN


JUMLAH GURU : 84 ORANG

JUMLAH MURID : 1077 MURID

MISI; Memberi pendidkan terbaik bagi melahirkan modal insan cemerlang selaras dengan aspirasi negara

VISI : SKSAT SEKOLAH TERBAIK PERINGKAT ASEAN

Wednesday, September 2, 2009

Khidmat SKSAT

Pertandingan Kawad Kaki Daerah


ARKIB : 20/12/2005

DATUK SERI NAJIB melawat mangsa banjir di SKSAT

Banjir terburuk 30 tahun -- * Hampir keseluruhan Perlis, Kedah `tenggelam' * Lebih 22,000 dipindahkan


RUMAH DALAM AIR... Sebahagian daripada taman-taman perumahan di Jitra, Kedah ditenggelami air dalam banjir terburuk sejak 30 tahun lalu. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ADIDIN.


KUALA LUMPUR 19 Dis. - Banjir yang melanda utara Semenanjung sejak tiga hari lalu disifatkan sebagai yang paling buruk sejak 30 tahun. Ia menyaksikan hampir keseluruhan Perlis dan sebahagian besar Kedah ditenggelami air.

Turut dilanda bencana alam itu ialah Kelantan dan Terengganu serta di beberapa kawasan Perak.

Sehingga berita ini ditulis seramai 22,171 penduduk masih berada di pusat-pusat pemindahan. Daripada jumlah itu, 12,483 orang di Kedah, 4,403 di Perlis, 1,795 di Terengganu, 2,753 di Kelantan dan 737 di Perak.

Ibu negeri Perlis, Kangar dan sebahagian besar negeri itu bergelap sejak 7 malam semalam sehingga hari ini setelah 85 peratus daripada negeri ini ditenggelami air.

Banjir besar ini menyebabkan aktiviti ekonomi terutama di Kedah dan Perlis lumpuh sama sekali selain kerugian harta benda yang dianggarkan bernilai berjuta-juta ringgit di kesemua negeri terbabit.

Malah banjir itu juga turut menenggelamkan kawasan jelapang padi negara. Padi hampir ranum yang dijangka dituai hujung bulan ini dan bulan depan musnah sama sekali.

Ia meliputi kawasan penanaman padi seluas kira-kira 25,000 hektar - 12,000 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); 3,000 hektar padi di luar kawasan MADA di Kedah manakala 13,000 hektar lagi kawasan padi di Perlis.

Para penduduk di kawasan Perlis, Jitra serta Changlun menyifatkan pengalaman yang mereka alami itu sebagai amat luar biasa.

``Sepanjang hayat, saya tidak pernah melihat banjir sebesar ini dan ia melanda dengan begitu cepat sekali. Kawasan bendang kelihatan seperti lautan luas,'' kata seorang guru di Bandar Darul Aman, Jitra, Siti Hawa Ahmad, 48. Kali terakhir banjir melanda kawasan itu ialah pada 1988, tetapi tidak sebesar yang ini.

Sehingga kini, banjir tersebut turut meragut lima nyawa apabila dua lagi menjadi mangsa hari ini termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Faizal Abdul Kadir.

Dia lemas setelah tergelincir ke dalam sebatang anak sungai dan dibawa arus di Taman Kiara, Tanah Merah, Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini terbang dengan helikopter ke empat negeri terbabit - Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan bagi meninjau keadaan bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara berkata, keadaan semua mangsa di pusat-pusat pemindahan terkawal di samping bantuan makanan termasuk selimut turut diberikan kepada mereka.

Mengenai bantuan kepada kampung-kampung terpencil pula, Najib memberitahu ia turut dibantu oleh tentera, polis, agensi kerajaan lain serta swasta.

``Pada masa sekarang, semua orang perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan penduduk tempatan perlu mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan dan sekiranya arahan dikeluarkan untuk berpindah kerana rumah kita dilanda banjir maka segeralah berpindah dan jangan berlengah-lengah,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Ketua Operasi Banjir Negeri Kedah, Datuk Ismail Abdul Hamid di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajudin Jitra.

Sebelum itu, beliau meninjau keadaan banjir yang melanda Perlis dan Kedah melalui udara hampir dua jam.

Selain itu, Najib memberitahu, taksiran mengenai kerugian berasaskan kepada kerugian tanaman dan ternakan yang terpaksa dialami oleh para petani ekoran dilanda banjir besar sedang dijalankan.

``Jadi kita akan buat penilaian dan menilai kerosakan padi dan ternakan, selepas itu kita juga akan nilai infrastruktur, kemudahan awam serta rumah yang ditenggelami air dan sebagainya selepas mendapat laporan lengkap mengenai keadaan banjir berkenaan,'' katanya.

Najib memberitahu, bayaran sagu hati juga akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir termasuk mereka yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir, bagaimanapun jumlahnya masih belum ditentukan lagi.

``Kadarnya masih belum ditentukan lagi dan ia akan diumumkan dalam sedikit masa lagi kerana saya tidak mahu umumkan sesuatu dalam keadaan yang tergesa-gesa,'' ujarnya lagi.

Selain itu, beliau juga berpuas hati dengan tindakan dalam proses pemindahan mangsa dan memberi bantuan kepada mangsa banjir yang dilakukan secara serta merta dan berjalan lancar.

Ketika di Jitra, Najib tidak sempat meninjau pusat-pusat pemindahan kerana terpaksa bergegas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di Kepala Batas yang mula dinaiki air.

Lapangan terbang itu kemudiannya telah ditutup kepada semua penerbangan ekoran air sedalam 0.5 meter.

Ia memaksa 21 buah pesawat Pilatus PC-7 yang digunakan oleh para pelajar kolej tersebut untuk latihan penerbangan telah dipindahkan ke Kolej Tentera Udara di Butterworth.

Sebelum itu Najib mengadakan lawatan ke kawasan yang terlibat di Perlis.

Beliau yang tiba di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Seriab, Kangar pada pukul 2.30 dan diberikan taklimat oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim selain turut beramah mesra dengan mangsa.

Beliau seterusnya dibawa melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir di sekitar bandar Kangar selama 15 minit oleh Shahidan sebelum berlepas di Jitra bagi tujuan yang sama pada pukul 3.30 petang.

Kemudiannya Najib berlepas ke Terengganu bagi meninjau mangsa banjir di negeri itu di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Nail, Besut.

Beliau bergegas pula ke Kelantan untuk melakukan lawatan ke kawasan yang dinaiki air di Rantau Panjang.