Naib Johan Puisi Kemerdekaan Kebangsaan
Exxon Mobil/Utusan 2003
menerima hadiah dari
Datuk Zaharah Sulaiman
Pasangan adik-beradik ke peringkat akhir
DUA pasangan adik beradik dari Pahang dan Kedah adalah antara peserta yang akan bersaing pada pertandingan akhir Kategori C (Sekolah Rendah) Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka ExxonMobil-Utusan 2003, Sabtu ini.
Muhammad Amsyar Mohd. Azli Lee dan Abdul Halim dari SK Seri Biram, Pekan Pahang akan menentang Nurliyana Khalidah Ahmad Sukri dan Nur Fatin Akmal dari SK Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah di samping empat pasangan lain.
Bagi pertandingan yang berlangsung pukul 10 pagi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, Amsyar dan Alim akan menyampaikan puisi Taman Peradaban karya Shamsudin Othman manakala Murliyana dan Nur Fatin mendeklamasikan puisi Hashim Yaacob berjudul Kitalah Tuan.
Bagaimanapun, pasangan adik beradik ini tentunya tidak akan diberi laluan mudah oleh peserta lain. Muhammad Izz Taufiq Sazalee dan Erniey Farha Hafizal dari SK Jelawat, Bachok, Kelantan akan memberikan tentangan hebat menerusi puisi pilihan mereka, Di Halaman Kembang Sepatu Ini, Selamanya Sejahteralah Warga karya Sazalee Yaacob.
Peserta duet dari SK Lubok Kelubi, Hulu Langat, Selangor iaitu Ikmal Din Baharudin dan Mohd. Hanafi Hafizal memilih puisi Wasiat Rimba Merdeka karya Hassan Jaidin.
Pasangan lain ialah Nur Afifah Mustapha dan Luqman Nulhakeem Abd. Rahim dari SK Sungai Binjai, Meru, Selangor akan mendeklamasikan puisi Suara Anak Merdeka karya Zaidin Abadi.
Puisi Keranamu Malaysia karya Ahmad Sarju menjadi pilihan perjuangan naib johan tahun lalu, Umi Nazirah Mustapa dan pasangannya Muhammad Haziq Md. Khairul Anuwar dari SK Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Pertandingan yang berlangsung sejak tiga bulan lalu ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A (Terbuka), Kategori B (Sekolah Menengah) dan Kategori C (Sekolah Rendah).
Pertandingan kali ke-2 anjuran ExxonMobil-Utusan menawarkan hadiah RM2,000 dan piala bagi johan, RM1,000 dan piala untuk naib johan dan RM700 dan piala di tempat ketiga manakala RM400 bagi setiap peserta yang berjaya ke peringkat akhir.
Panel hakim peringkat akhir ialah Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, Zaen Kasturi dan Lim Swee Tin manakala hadiah akan disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.
No comments:
Post a Comment